Hukum Mewarnakan Rambut & Uban


Assalamualaikum. What's up you all's?


SOALAN 
Mewarnakan Uban dengan warna hitam yang disahkan halal oleh JAKIM. Apa hukumnya?
JAWAPAN:

Ulama telah bersepakat mengharuskan mencelup warna rambut dari warna hitam ke warna lain seperti merah dan lain-lain, samada dengan inai dan apa jua pewarna yang dibenarkan syarak. (Rujuk Al-Fatawa al-Hindiyyah, jilid 5, muka surat 359 ; Al-Istizkar, Ibn Abd Al-Barr , jilid 27, mukasurat 85 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syabini, jilid 1, muka surat 191 ; Kassyaf al-Qina’, Al-Bahuti, jilid 1, muka surat 77)






Mereka semua berdalilkan dengan hadith-hadith riwayat An-Nasaie, At-Tirmidzi, Ahmad, dan Muslim. Hampir kesemuanya mempunyai sanad hasan dan sahih dengan perawi yang thiqah. Demikian menurut Imam Al-Haithami dalam kitabnya Majma’ az-Zawaid dan Imam As-Syawkani dalam Naylul Awtar.

Bagaimanapun ia diikat dengan syarat berikut :-

1- Pewarna tersebut bukannya jenis yang kekal, jika tidak ia dikira mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan.

2- Menggunakan pewarna yang suci dan halal.
3- Tidak mengakibatkan mudarat terhdp kesihatan individu. Seperti Kanser, kekeringan rambut dan merapuhkannya, atau alergi ataupun mudarat terhadap janin dan lain-lain akibat bahan kimia pewarna tadi.
4- Memutihkan rambut iaitu dengan mengikis warna hitamnya dengan tujuan untuk menghasilkan warna baru rambut yang lebih cantik, adalah makruh. Kerana ia menukar ciptaan asal Allah.
HUKUM MENCELUP UBAN PUTIH KE HITAM 
Ulama telah berbeza pandangan dalam hal ini seperti berikut :-
1. Makruh adalah pandangan Mazhab Maliki, Abu Hanifah, sebahagian ulama Syafie seperti Imam Ghazali, Al-Baghawi.
Tetapi kiranya ia dibuat untuk tujuan menakutkan musuh di dalam peperangan ia adalah HARUS.
Dalil mereka :
a) Sabda Nabi SAW : “Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam” (Sahih Muslim)
b) Berkata Ibn Umar ra : “Kekuningan pewarna para mukmin, kemerahan pewarna para Muslimin, Hitam pewarna puak Kuffar” (Riwayat At-Tobrani, Al-Haithami)
c) Nabi SAW bersabda : “Barangsiapa yang mewarnakan rambutnya dengan warna hitam, nescaya Allah akan menghitamkan wajahnya di akhirat kelak” (Al-Haithami, bagaimanapun Ibn Hajar berkata seorang perawinya agak lemah, bagaimanapun rawi tersebut diterima oleh Imam Yahya Mai’en dan Imam Ahmad)
d) Dalil aqal, ia dikira suatu penipuan.
2. Haram
Ia adalah pandangan Mahzab Syafie. Dikecualikan kiranya untuk jihad. Mereka berdalil dengan dalil kumpulan pertama tadi.
3. Harus tanpa Makruh
Ia adalah pandangan Imam Abu Yusof dan Ibn Sirin.
Dalil mereka :
a) Sabda Nabi SAW : “Sebaik-baik pewarna yang kamu gunakan adalah warna hitam ini, ia lebih digemari oleh isteri-isteri kamu, dan lebih dapat menakutkan musuh” (Riwayat Ibn Majah, bagaimanapun ia adalah hadith Dhoif)
b) Diriwayatakan bahawa sahabat dan tabi’ein ramai juga yang mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Antara Sa’ad, ‘Uqbah bin ‘Amir, Az-Zuhri dan diakui oleh Hasan Al-Basri. (Lihat Fath al-Bari, Majma’ az-Zawaid dan Tahzib al-Athar oleh At-Tabari)
Suka disebutkan di sini setiap mazhab mempunyai dalil masing-masing yang tidak dapat disebutkan kesemuanya di sini, demi meringkaskan tulisan ini.

Kesimpulan Hukum

Akibat terdapat zahir hadith dan athar yang bertembung antara satu sama lain, maka fuqaha mengambil jalan membuat takwilan bagi menggabungkan hadith-hadith ini. Ia seperti berikut :
a) Hadith larangan adalah menujukan kepada larangan penipuan umur yang tua akibat tua dan uban maka dihitamkan bagi kelihatan lebih muda. Tidak kira dari kalangan lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.
b) Adapun hadith yang mengharuskan adalah dalam keadaan dan sebab-sebab yang diiktiraf oleh syarak, seperti perang bagi menakutkan musuh, ataupun ia tidak mengandungi unsur penipuan, seperti merawat penyakit dan lain-lain.
Sumber: sila klik pada tajuk diatas :)

Ulasan

armouris berkata…
lagi info tentang rambut uban di SIHAT SELALU - Kurang Hormon Punca Rambut Uban

Catatan Popular