Kehebatan Nyamuk



Kehadiran nyamuk amat tidak disenangi oleh kebanyakan daripada kita. Ia dianggap serangga yang mengjengkelkan, merimaskan, malah ada yang tidak senang duduk dibuatnya. Justeru, bermacam - macam cara dilakukan. Seboleh - bolehnya tidak didekati atau terjumpa dengan binatang tersebut.

Dari situ jelas menunjukkan, wujud persepsi kurang baik terhadap nyamuk di mana haiwan kecil ini tidak memberi apa - apa pun manfaat kepada kehidupan manusia. Malah, rata - rata masyarakat kita sering menganngap nyamuk sebagai makhluk hidup yang biasa - biasa sahaja dan tidak penting.



Dr. Faszly Rahim


Bagaimanapun, menurut Ketua Kumpulan Penyelidikan STEMind, Nic Pendidikan dan Peradaban dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Faszly Rahim, nyamuk sangat bermakna untuk dikaji dan difikirkan kerana makhluk itu mempunyai banyak tanda kebesaran Allah SWT. Atas dasar itulah kenapa Allah tidak malu menggunakan nyamuk sebagai perumpaan dalam al - Quran.

Firman Allah, bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja (seperti) nyamuk atau yang lebih kecil daripada itu (kerana perbuatan itu ada hikmahnya). Iaitu kalau orang - orang yang beriman, maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang - orang kafir pula maka mereka akan berkata: ''Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang - orang fasik."

(Surah al - Baqarah, ayat 26)

Perumpaan di dalam ayat tersebut, jelas Dr. Faszly, menunjukkan bahawa Allah mempunyai kuasa untuk mencipta makhluk sekecil nyamuk, bahkan lebih kecil daripada itu. Dan walaupun nyamuk merupakan seranggan kecil, ia mempunyai rahsia tersendiri yang perlu dipelajari dan diambil pengajaran daripadanya.

Kajian sains pada hari ini berjaya menyingkap sebahagian rahsia kehebatan ciptaan Allah itu. Antaranya, macam mana haiwan yang berasal dari hutan atau semak itu berupaya menuju secara tepat ke sasarannya, manusia? Hasil penyelidikan mendapati bahawa nyamuk mempunyai sensor yang luar biasa hebat. Bukan satu, tetapi dua.

Mula - mula, terang Dr. Faszly, ia akan mengesan kehadiran karbon dioksida yang kita keluarkan melalui pernafasan. Dari situ, nyamuk tahu keberadaan manusia. Sebaik sampai di kawasan yang banyak karbon dioksida, ia akan mengesan haba pula. Dan nyamuk dapat tahu, di mana ada haba paling banyak, di situ ada ada darah segar. Sebab itu, apabila dibiarkan, ia akan beralih - alih tempat di atas badan kita sebelum mula menghisap darah.

Namun secara biologi, bukan semua nyamuk penghisap darah, tetapi hanya nyamuk betina yang memerlukan cecair merah itu sebagai makanan. Nyamuk betina mula memakan darah selepas bersenyawa dengan seekor nyamuk jantan dewasa. Dan proses ini adalah antara aspek yang paling mengagumkan. Untuk mencari pasangan, si jantan akan menggunakan antenanya sebagai organ pendengar. Bulu nipis di hujung antena sangat peka terhadap bunyi yang dipancarkan nyamuk betina.

Di sebelah organ seksual nyamuk jantan, terdapat organ yang membantunya mencengkam nyamuk betina ketika melakukan persenyawaan di udara. Sebelum proses itu terjadi, nyamuk jantan akan terbang secara berkelompok. Ketika seekor nyamuk betina memasuki kelompok tersebut, nyamuk jantan yang berjaya mencengkam nyamuk betina akan melakukan persenyawaan selama tempoh penerbangan. Aktiviti ini tidak berlangsung lama dan setelah selesai, nyamuk jantan akan kembali ke kelompoknya.




Sejak itu, kata Dr. Faszly, nyamuk betina memerlukan darah untuk perkembangan telurnya. Nyamuk betina menghisap darah hanya kerana ia memerlukan zat protein untuk memelihara pertumbuhan dan kelangsungan spesiesnya. Sementara, nyamuk jantan pula hanya mendapatkan makanan dari nektar bunya.

Nyamuk merupakan serangga yang tergolong dalam order Diptera. Berbeza - beza saiz, tetapi jarang sekali melebihi 15 milimeter (mm) panjang. Memiliki berat hanya dua hingga 2.5 miligram (mg) dan mampu terbang antara 1.5 hingga 2.5 kilometer per jam. Walaupun, haiwan ini bersaiz kecil dan lemah, sekali tepok terus mati, namun ia terbukti mampu mengundang bahaya kepada kesihatan manusia seperti jangkitan virus denggi dan malaria.





proses perkembangan nyamuk


Sir Ronald Ross (1857 - 1932) adalah antara ilmuwan yang menemukan bahawa penyakit malaria berpunca daripada bawaan sejenis nyamuk dikenali sebagai Anopheles. Selama lebih kurang 18 tahun iaitu dari tahun 1881 sehingga 1889, beliau telah menjalani penyelidikan terhadap malaria dan mendapati penyakit tersebut telah mengorbankan ramai nyawa manusia. Kejayaan kajian itu membolehkan beliau menerima anugerah nobel dalam bidang fisiologi dan perubatan pada tahun 1902.

Tambah Dr. Faszly lagi, jangan memandang remeh pada haiwan yang jangka hayatnya cuma seminggu ini. Lihatlah dalam sejarah Islam, bagaimana nyamuk, selemah - lemah makhluk yang dikirimkan oleh Allah boleh membunhu dan menghancurkan Raja Namrud serta tenteranya. Ini memberi gambaran jelas betapa sesuatu yang didatangkan oleh Allah di dalam al - Quran, bukanlah sia - sia dan remeh.

sumber; infiniti
oleh; Rosminah Haji Bakkang.

Ulasan

Catatan Popular